Ahad, 21 November 2010

Korban Kelompok Aidil Adha 2010

Alhamdulillah...Aidil Adha pada tahun 2010 ini menjadi sejarah buat Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Linau Kecil kerana telah berjaya melaksanakan acara Ibadah Korban Berkelompok buat pertama kalinya pada 20 November 2010 yang lalu bersamaan 13 Zulhijjah 1431H. Ibadah korban yang dianjurkan buat pertama kalinya ini telah berjaya mengumpulkan seramai 21 orang yang terdiri dari penduduk dan anak-anak jati Linau Kecil untuk menyertai korban pada kali ini. Sebanyak 3 ekor lembu telah dikorbankan dalam ibadah korban pada tahun ini bagi mewakili 3 kumpulan yang telah dibentuk. Setiap kumpulan yang dibentuk mewakili seramai 7 orang ahli korban.

Acara telah bermula seawal jam 7.30 pagi yang menyaksikan penduduk kampung mula membanjiri tapak acara ibadah korban. Pada tahun ini ibadah korban secara berkelompok ini telah diadakan di perkarangan rumah En. Mohd Huzairi bin Husin (Imam Masjid Jamek Linau Kecil). Acara pada hari tersebut dimulakan oleh bacaan doa selamat oleh Imam Masjid Jamek Linau Kecil, En. Mohd Huzairi bin Husin bagi memohon keselamatan, kemudahan dan keberkatan acara tersebut. Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan Ketua Kampung Linau, En. Samsuri bin Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Linau Kecil merangkap Pengerusi Sambutan.

Bagi memastikan ibadah korban yang dijalankan berjalan lancar dan sempurna serta mengikut lunas-lunas syarak, sedikit taklimat dan tazkirah berkaitan ibadah korban telah diberikan oleh Imam Masjid Jamek Linau Kecil, En. Mohd Huzairi bin Husin. Sebaik sahaja tazkirah dan taklimat selesai diberikan, acara korban dimulakan dengan menumbangkan lembu-lembu korban yang hendak disembelih pada hari tersebut oleh penduduk-penduduk Linau Kecil. Atas kerjasama yang baik antara penduduk, lembu-lembu tersebut telah dapat ditumbangkan dengan mudah. Acara ibadah korban pada hari tersebut telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Salamon yang ditugaskan bagi menyembelih lembu-lembu korban tersebut.

Sebaik sahaja selesai upacara penyembelihan dijalankan, kerja-kerja melapah pula dijalankan. Hampir seramai 50 orang yang telah bersama dalam acara tersebut telah menghulurkan bantuan. Hasil dari usaha penduduk-penduduk yang bersama-sama di dalam acara tersebut, kerja-kerja melapah, dan membungkus telah dapat diselesaikan dalam masa yang singkat. Acara pada hari tersebut telah tamat pada jam 12.00 tengahari. Daging-daging korban yang telah siap di bungkus di edarkan kepada penduduk-penduduk Linau Kecil, anak yatim, dan ibu tunggal sekitar kawasan Linau Kecil.

Semoga aktiviti seperti ini akan menjadi rutin kepada masyarakat Linau Kecil dan menjadi platform untuk merapatkan silaturrahim dan ukhwah di kalangan penduduk-penduduk Linau Kecil. Berikut gambar-gambar menarik sekitar acara Korban kelompok Kg. Linau Kecil 2010 :-














Lagi gambar-gambar menarik sekitar acara Korban kelompok di http://www.facebook.com/album.php?aid=51527&id=131220986893852&saved

Selasa, 16 November 2010

Salam Aidil Adha 1420 Hijrah


AIDILADHA yang dirayakan pada 10 Zulhijah adalah tanda pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail mentaati perintah Allah. Ia juga simbol perpaduan ummah apabila setiap tahun umat Islam berhimpun di Makkah untuk menunaikan ibadat haji.
Sambutan hari raya ini oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah. Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas dalam hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri.”

Ibn Taimiyah juga menyebut perayaan ini adalah suatu ‘syariat’ seperti ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud:

“Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama atau ibadat (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” (Surah Al Maidah, ayat 48)

Oleh itu, perayaan yang diraikan umat Islam bukan semata-mata aktiviti
sosial tetapi adalah satu ibadat yang dituntut dalam agama. Garis panduan merayakan Aidilfitri dan Aidiladha ada persamaan dan perbezaan. Jika pada Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama, pada sambutan Aidiladha dilarang berpuasa selama empat hari.

Bertakbir hanya sehari di Aidilfitri tetapi dituntut bertakbir selama empat hari berturut-turut di Aidiladha, disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya, diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi disunatkan melakukan ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah selepas solat sunat Aidiladha.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha
melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan
datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya.
Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu
jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat
korban yang kamu lakukan.”
(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa,terikut-ikut atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging, atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat korban.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada
Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan.”
(Surah Al-Haj, ayat 37)

Perayaan Aidiladha berlangsung selama empat hari dari 10 Zulhijah hingga 14 Zulhijah. Selama empat hari itu disunatkan berkorban dan daging korban akan diagih-agihkan kepada mereka yang miskin sebagai satu cara penyucian jiwa bagi mereka yang kaya. Kita juga sewajarnya menziarahi sanak-saudara dan keluarga terdekat serta kenalan untuk menguatkan ikatan persaudaraan sempena menyambut Aidiladha.

Kegembiraan meraikan hari raya amat digalakkan dalam mentauhidkan Allah. Ibadat korban mencerminkan dua perkara.

Pertama - ia adalah wasilah atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat
Kedua - ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan
Islam.

Tetapi apa yang berlaku di tanah air kita ialah semakin ramai menjadi kurang prihatin dan memahami tujuan sebenar sambutan hari raya seperti yang disarankan agama. Cuti umum Aidiladha pula dianggap seperti hari cuti biasa, diisikan dengan tidur atau membasuh kereta. Mungkin ramai beranggapan Aidiladha khusus bagi mereka yang sedang menunaikan haji di Makkah menyebabkan ramai yang tidak berapa mengambil peduli untuk meraikan Aidiladha.

Sudah sampai masanya kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk
menyambut hari raya supaya pengisian yang dilakukan mendapat keredaan Allah.
Wang untuk membeli pakaian baru adalah lebih baik digunakan untuk melaksanakan ibadat korban. Kemungkinan kita boleh meraikan Aidiladha tahun ini dengan mengorbankan seekor lembu yang dikongsi bersama ahli keluarga, kemudian daging korban diberikan kepada orang miskin atau komuniti orang asli supaya dapat merasai nikmat keimanan serta penghayatan Aidiladha.

Firman Allah yang bermaksud:

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil).
Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu!
Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang
bertakwa.”
(Surah al-Maidah, ayat 27)

Umat Islam mesti mengagungkan dan membesarkan hari perayaan agama mengikut konsep yang sebenarnya. Kita perlu mengetahui tujuan sebenar atau cerita disebalik sambutan hari raya supaya mendapat rahmat daripada Allah.

Sabtu, 6 November 2010

Dulu dan kini..

Baru-baru ini salah seorang sahabat dari Linau Kecil telah memberikan beberapa keping gambar lama majlis perasmian Balai Raya Kg. Linau Kecil untuk diabadikan dalam bentuk 'softcopy'. Apabila melihat kepada beberapa keping gambar yang diberikan tergerak hati untuk melihat pula pada gambar-gambar yang baru diambil sekitar beberapa tahun ini. Hasil dari penelitian beberapa keping gambar terbaru tersebut, apa yang dapat disimpulkan adalah...

'tak ada beza apa pun di kalangan masyarakat Kg. Linau Kecil dulu dan sekarang..sentiasa bersepakat dan bersatu dalam mengekalkan tradisi kampung serta melaksanakan apa jua aktiviti di Kg. Linau Kecil ini..'


Masjid Jamek Linau Kecil pada tahun 1965 dan tahun 2010...

Anak-anak muda Linau Kecil pada 1965 dan 2010 selaku pewaris generasi sentiasa bersatu padu...


Kepimpinan masyarakat tahun 1965 dan 2010 sentiasa berganding bahu menjayakan sesuatu acara dan aktiviti di Kg. Linau Kecil...

Agama sentiasa didahulukan di dalam apa jua acara walaupun zaman sudah semakin modern...

Semoga segala amalan baik yang diamalkan oleh masyarakat Linau Kecil akan sentiasa berkekalan dan akan terus menjadi tradisi...

Ahad, 24 Oktober 2010

Semoga Mendapat Haji Yang Mabrur...

Pada tahun ini seramai 4 orang dari penduduk Kg. Linau telah diberikan peluang oleh Allah S.W.T. untuk menjadi tetamunya bagi musim haji tahun ini. Penduduk-penduduk Kg. Linau Kecil mendoakan kepada keempat-empat jemaah ini semoga mendapat kesejahteraan, keselamatan dan kemudahan sepanjang menjalani rukun Islam kelima ini.

Jemaah 1 : Mohd. Noh bin Sulaiman
Tarikh berlepas : 26 Oktober 2010
Tempat berlepas : Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai

Jemaah 2 : Juriah binti Hj. Nawawi
Tarikh berlepas : 26 Oktober 2010
Tempat berlepas : Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai

Jemaah 3 : Zainon binti Hj. Nawawi
Tarikh berlepas : 26 Oktober 2010
Tempat berlepas : Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai

Jemaah 4 : Shamsiah binti Hj. Jailani
Tarikh berlepas : 24 Oktober 2010
Tempat berlepas : Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai

Semoga mereka dikurniakan haji yang mabrur...

InsyaAllah...

Sabtu, 16 Oktober 2010

Sambutan Hari Raya dan Meraikan Bakal-bakal Haji

Satu Majlis Sambutan Hari Raya dan Majlis Meraikan Bakal-bakal Haji 2010 Kg. Linau Kecil telah diadakan pada 9 Oktober 2010 yang lalu di Balai Raya, Kg. Linau Kecil. Berkat usaha, kerjasama dan semangat penduduk Kg. Linau Kecil yang tidak pernah jemu, majlis tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya. Persiapan bagi melaksanakan tersebut bermula dengan acara gotong-royong memasang balai 'canopy' sehari sebelum majlis berlangsung. Kemudian disambung dengan acara gotong-royong memotong rumput disepanjang jalan Kg. Linau Kecil. Tidak selesai disitu sebahagian daripada penduduk Kg. Linau Kecil bergotong-royong bagi menyediakan juadah untuk majlis pada malam tersebut. Pelbagai juadah disediakan untuk majlis tersebut seperti lontong, mee hoon goreng, dan ikan bakar.
Alhamdulillah...walaupun persiapan yang dibuat hanya mengambil masa seminggu, majlis dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. Seramai hampir 300 orang penduduk Kg. Linau Kecil dari semua golongan dan peringkat usia membanjiri dataran Balai Raya Linau Kecil seawal jam 8.00 malam pada malam tersebut. Kemeriahan malam tersebut diceriakan lagi dengan kehadiran YB Ayub bin Jamil (ADUN Rengit) dan isteri. Pelbagai acara juga disediakan seperti penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal haji dan hajah, persembahan kompang berselawat, tazkirah ringkas, dan acara cabutan berhadiah. Pelabagai hadiah telah disediakan bagi acara cabutan berhadiah tersebut seperti hamper makanan, barangan elektrik dan basikal.
InsyaAllah...sekiranya diberikan peluang oleh Allah, program seperti ini akan dilaksanakan setiap tahun bagi membolehkan ianya menjadi platform untuk merapatkan lagi ukhwah dan perpaduan di kalangan penduduk Kg. Linau Kecil, Bukit Pasir, Batu Pahat.
Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Sambutan Hari Raya 2010, penduduk kampung yang sama-sama bertungkus lumus, dan para penyumbang yang telah menghulurkan sumbangan dalam bentuk kewangan, idea dan tenaga di dalam menjayakan majlis tersebut. Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Gambar-gambar sepanjang majlis...






Lagi gambar-gambar menarik di laman facebook Linau Kecil

Jumaat, 15 Oktober 2010

Kg. Linau Mengekalkan Ciri-ciri Kampung Tradisi


Kg. Linau Kecil, Bukit Pasir, Batu Pahat merupakan salah sebuah kampung di antara beberapa kampung yang berada di tengah-tengah bandar Batu Pahat. Walaupun begitu, penduduk kampung ini tetap berusaha untuk mengekalkan tradisi kampung walaupun kampung ini terselit di celah-celah pembangunan dan kemodenan bandar Batu Pahat. Penduduk kampung ini yang hampir mencecah 600 orang majoritinya adalah bangsa Melayu. Tanpa menghiraukan fahaman politik, penduduk kampung ini tetap bersatu dan berpadu tenaga dalam menjayakan apa jua rancangan, program, dan majlis yang dianjurkan. Aktiviti rewang dan gotong-royong terutamanya telah menjadi lumrah bagi penduduk Kg. Linau Kecil. Pelbagai majlis telah berjaya dijalankan dengan jayanya atas usaha dan kerjasama penduduk kampung. Bak kata pepatah "yang berat sama dipikul yang ringan dijinjing sama...". Itulah kami penduduk Kg. Linau Kecil...