Sabtu, 16 Oktober 2010

Sambutan Hari Raya dan Meraikan Bakal-bakal Haji

Satu Majlis Sambutan Hari Raya dan Majlis Meraikan Bakal-bakal Haji 2010 Kg. Linau Kecil telah diadakan pada 9 Oktober 2010 yang lalu di Balai Raya, Kg. Linau Kecil. Berkat usaha, kerjasama dan semangat penduduk Kg. Linau Kecil yang tidak pernah jemu, majlis tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya. Persiapan bagi melaksanakan tersebut bermula dengan acara gotong-royong memasang balai 'canopy' sehari sebelum majlis berlangsung. Kemudian disambung dengan acara gotong-royong memotong rumput disepanjang jalan Kg. Linau Kecil. Tidak selesai disitu sebahagian daripada penduduk Kg. Linau Kecil bergotong-royong bagi menyediakan juadah untuk majlis pada malam tersebut. Pelbagai juadah disediakan untuk majlis tersebut seperti lontong, mee hoon goreng, dan ikan bakar.
Alhamdulillah...walaupun persiapan yang dibuat hanya mengambil masa seminggu, majlis dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. Seramai hampir 300 orang penduduk Kg. Linau Kecil dari semua golongan dan peringkat usia membanjiri dataran Balai Raya Linau Kecil seawal jam 8.00 malam pada malam tersebut. Kemeriahan malam tersebut diceriakan lagi dengan kehadiran YB Ayub bin Jamil (ADUN Rengit) dan isteri. Pelbagai acara juga disediakan seperti penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal haji dan hajah, persembahan kompang berselawat, tazkirah ringkas, dan acara cabutan berhadiah. Pelabagai hadiah telah disediakan bagi acara cabutan berhadiah tersebut seperti hamper makanan, barangan elektrik dan basikal.
InsyaAllah...sekiranya diberikan peluang oleh Allah, program seperti ini akan dilaksanakan setiap tahun bagi membolehkan ianya menjadi platform untuk merapatkan lagi ukhwah dan perpaduan di kalangan penduduk Kg. Linau Kecil, Bukit Pasir, Batu Pahat.
Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Sambutan Hari Raya 2010, penduduk kampung yang sama-sama bertungkus lumus, dan para penyumbang yang telah menghulurkan sumbangan dalam bentuk kewangan, idea dan tenaga di dalam menjayakan majlis tersebut. Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Gambar-gambar sepanjang majlis...






Lagi gambar-gambar menarik di laman facebook Linau Kecil

Jumaat, 15 Oktober 2010

Kg. Linau Mengekalkan Ciri-ciri Kampung Tradisi


Kg. Linau Kecil, Bukit Pasir, Batu Pahat merupakan salah sebuah kampung di antara beberapa kampung yang berada di tengah-tengah bandar Batu Pahat. Walaupun begitu, penduduk kampung ini tetap berusaha untuk mengekalkan tradisi kampung walaupun kampung ini terselit di celah-celah pembangunan dan kemodenan bandar Batu Pahat. Penduduk kampung ini yang hampir mencecah 600 orang majoritinya adalah bangsa Melayu. Tanpa menghiraukan fahaman politik, penduduk kampung ini tetap bersatu dan berpadu tenaga dalam menjayakan apa jua rancangan, program, dan majlis yang dianjurkan. Aktiviti rewang dan gotong-royong terutamanya telah menjadi lumrah bagi penduduk Kg. Linau Kecil. Pelbagai majlis telah berjaya dijalankan dengan jayanya atas usaha dan kerjasama penduduk kampung. Bak kata pepatah "yang berat sama dipikul yang ringan dijinjing sama...". Itulah kami penduduk Kg. Linau Kecil...