Kampung Linau Kecil, Bukit Pasir, Batu Pahat merupakan sebuah kampung yang terletak di pinggir bandar Batu Pahat. Jarak perjalanan kira-kira 4 kilometer dari bandar Batu Pahat. Telah dibuka pada 13 Mac 1904 oleh pendatang-pendatang dari Kepulauan Jawa yang ingin membuka penempatan baru dan kawasan pertanian.
Pada awal pembukaannya, Kg. Linau Kecil diteroka bermula dari arah Sungai Simpang Kanan menghala ke Kampung Linau Besar. Apabila melihatkan bilangan penduduk yang semakin bertambah, penerokaan diteruskan hingga ke kawasan sebelah timur. Kawasan tersebut dinamakan Kg. Linau Kecil dan Kg. Bahru (Kg. Linau Kecil Laut).
Berikutan dengan pembukaan ini , pada 23 Januari 1910 bersamaan 28 Safar 1331, Dato' Bentara Luar selaku Menteri Besar Johor ketika itu telah menyerahkan surat tauliah keizinan pembukaan Kg. Linau Kecil.
Dari masa ke semasa pembukaan kampung ini telah semakin luas. Sehingga kini keluasan Kg. Linau Kecil mencecah 238 hektar. Kapasiti penduduk pula mencecah kira-kira 800 orang dengan bilangan rumah sebanyak 180 buah rumah. Majoriti penduduknya adalah berbangsa Melayu Jawa. Ketika ini Kampung Linau Kecil diterajui oleh En. Samsuri bin Ahmad Ketua Kampung.
Kampung Linau Kecil juga terus maju seiring pambangunan negara Malaysia dengan bertambahnya modal insan yang bersama-sama berjuang membawa Kampung Linau ke puncak kegemilangan.