Alhamdulillah...Aidil Adha pada tahun 2010 ini menjadi sejarah buat Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Linau Kecil kerana telah berjaya melaksanakan acara Ibadah Korban Berkelompok buat pertama kalinya pada 20 November 2010 yang lalu bersamaan 13 Zulhijjah 1431H. Ibadah korban yang dianjurkan buat pertama kalinya ini telah berjaya mengumpulkan seramai 21 orang yang terdiri dari penduduk dan anak-anak jati Linau Kecil untuk menyertai korban pada kali ini. Sebanyak 3 ekor lembu telah dikorbankan dalam ibadah korban pada tahun ini bagi mewakili 3 kumpulan yang telah dibentuk. Setiap kumpulan yang dibentuk mewakili seramai 7 orang ahli korban.
Acara telah bermula seawal jam 7.30 pagi yang menyaksikan penduduk kampung mula membanjiri tapak acara ibadah korban. Pada tahun ini ibadah korban secara berkelompok ini telah diadakan di perkarangan rumah En. Mohd Huzairi bin Husin (Imam Masjid Jamek Linau Kecil). Acara pada hari tersebut dimulakan oleh bacaan doa selamat oleh Imam Masjid Jamek Linau Kecil, En. Mohd Huzairi bin Husin bagi memohon keselamatan, kemudahan dan keberkatan acara tersebut. Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan Ketua Kampung Linau, En. Samsuri bin Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Linau Kecil merangkap Pengerusi Sambutan.
Bagi memastikan ibadah korban yang dijalankan berjalan lancar dan sempurna serta mengikut lunas-lunas syarak, sedikit taklimat dan tazkirah berkaitan ibadah korban telah diberikan oleh Imam Masjid Jamek Linau Kecil, En. Mohd Huzairi bin Husin. Sebaik sahaja tazkirah dan taklimat selesai diberikan, acara korban dimulakan dengan menumbangkan lembu-lembu korban yang hendak disembelih pada hari tersebut oleh penduduk-penduduk Linau Kecil. Atas kerjasama yang baik antara penduduk, lembu-lembu tersebut telah dapat ditumbangkan dengan mudah. Acara ibadah korban pada hari tersebut telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Salamon yang ditugaskan bagi menyembelih lembu-lembu korban tersebut.
Sebaik sahaja selesai upacara penyembelihan dijalankan, kerja-kerja melapah pula dijalankan. Hampir seramai 50 orang yang telah bersama dalam acara tersebut telah menghulurkan bantuan. Hasil dari usaha penduduk-penduduk yang bersama-sama di dalam acara tersebut, kerja-kerja melapah, dan membungkus telah dapat diselesaikan dalam masa yang singkat. Acara pada hari tersebut telah tamat pada jam 12.00 tengahari. Daging-daging korban yang telah siap di bungkus di edarkan kepada penduduk-penduduk Linau Kecil, anak yatim, dan ibu tunggal sekitar kawasan Linau Kecil.
Semoga aktiviti seperti ini akan menjadi rutin kepada masyarakat Linau Kecil dan menjadi platform untuk merapatkan silaturrahim dan ukhwah di kalangan penduduk-penduduk Linau Kecil. Berikut gambar-gambar menarik sekitar acara Korban kelompok Kg. Linau Kecil 2010 :-
Lagi gambar-gambar menarik sekitar acara Korban kelompok di http://www.facebook.com/album.php?aid=51527&id=131220986893852&saved
Tiada ulasan:
Catat Ulasan